comscore
Tumpuan :
Nasional

Syamsul Yusof tarik balik saman terhadap JAWI, MAIWP

PETALING JAYA: Pengarah, Syamsul Yusof menarik balik saman terhadap pegawai penyiasat dan pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang didakwa menyebarkan fakta aib mengenai hubungannya dengan Ira Kazar kepada ibunya, Datin Patimah Ismail.

Perkara itu disahkan peguam bela Syamsul, Azahir Nazir, selepas pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, secara dalam talian.

Syamsul menerusi pernyataan tuntutannya berkata pada 20 Disember tahun lalu, ibunya Datin Patimah Ismail menghantar sekeping gambar mengandungi nama Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini, nombor kad pengenalan, tandatangan dan pernyataan bertulis menerusi aplikasi WhatsApp, kepada plaintif.

Dakwa pengarah filem Munafik itu, gambar pernyataan tersebut yang disebar dan diedarkan kepada ibunya, mengandungi fakta-fakta mengaibkan dan memalukan plaintif.

Syamsul berkata beliau menghubungi Ira, yang kini isterinya untuk bertanyakan mengenai gambar tersebut dan wanita itu memaklumkan beliau telah dipanggil oleh defendan ketiga (MAWIP), untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes oleh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, yang ketika itu isteri pertama Syamsul.

“Keterangan Ira yang dirakam oleh defendan pertama (Mohd Haris) tertakluk di bawah Seksyen 59 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah) Persekutuan 1997 dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah, yang mana pernyataan itu dikategorikan sebagai dokumen persendirian dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972,” kata Syamsul dalam pernyataan tuntutan itu.

Oleh itu, plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 apabila menyebarkan gambar pernyataan tersebut, selain mendakwa keterangan Ira ditokok tambah oleh defendan pertama serta ia merupakan fitnah, kerana memberi gambaran bahawa plaintif melakukan maksiat dan mempunyai hubungan luar perkahwinan bersama pihak lain.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan teruk serta kos difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 14 Jun lepas, Syamsul melafazkan cerai talak satu terhadap Puteri Sarah, 38, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, selepas isteri pertamanya itu memfailkan permohonan cerai atas alasan mereka tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.

Loading...
Terkini