comscore
Tumpuan :
Hiburan

Konsert ‘Ada Apa Dengan Melly’ mengimbau zaman persekolahan

Foto: Nur Fazura/Instagram – Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah turut mencemar duli untuk hadir menyerikan konsert Melly Goeslaw. -Foto: Nur Fazura/Instagram

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja menghidangkan persembahan nyanyian, malah penonton juga umpama ‘dipukau’ untuk menelusuri kembali zaman persekolahan.

Artis terkenal Indonesia, Melly Goeslaw berjaya menghiburkan peminat Malaysia di konsert ‘Ada Apa Dengan Melly’ di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 & 4 Februari dengan menyanyikan lebih 20 buah lagu!

Ada Apa Dengan Cinta, Denting, Menghitung Hari, Gantung dan Ketika Cinta Bertasbih antara lagu yang didendangkan oleh penyanyi itu.

Lebih mengasyikkan, Melly turut membawakan lagu kenangan dari seniman Allahyarham P. Ramlee dengan turut menampilkan cucu perempuan insan agung dalam industri seni itu.

Melly juga kreatif bermain emosi bersama peminat dengan bukan sahaja menyanyikan lagu nyanyiannya, malah lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh orang lain turut dipersembahkan seperti Pencinta Wanita dan Cinta Sejati.

Bukan itu sahaja, penghibur seni itu yang merupakan pencinta tegar haiwan turut menampilkan kucing yang tular seantero dunia, Yoyo, yang dibawakan khas dari Pulau Pinang.

#AdaApaDenganMelly merupakan konsert ulung Melly Goeslaw yang berlangsung pada 3 dan 4 Februari 2023 di Plenary Hall, KLCC. -Foto: Ain Syafiqah Zaki/Buletin TV3.

‘Ratu Soundtrack’ itu juga turut bijak dengan mengajak penonton berinteraksi untuk mencipta lagu bersama-sama kerana dia membawa watak sebagai cikgu muzik pada malam konsert ulungnya itu.

Riak wajah gembira dan kepuasan jelas terpancar pada penonton yang menghadirkan diri ke konsert sempena meraikan tiga dekad pembabitan Melly dalam industri muzik.

Selebriti popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy Search, Datuk M. Nasir, Nur Fazura, Fattah Amin, Wany Hasrita dan Amira Othman juga tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert ulung Melly Goeslaw itu.

Foto – (Dari kiri) Izara Aishah, Tya Ariffin, Datuk Rossa, Dato’ Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid ketika menghadiri konsert #AdaApaDenganMelly di Plenary Hall, KLCC. -Foto: Siti Nurhaliza/Instagram.

Konsert itu juga dihadiri tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan berpakaian sekolah.

Loading...
Terkini