comscore
Tumpuan :
Hiburan

Fourtwnty temui peminat di tiga negeri di Malaysia

KUALA LUMPUR: Selepas menjayakan konsert pada 2019 dan 2022, kumpulan Indonesia, Fourtwnty sekali lagi bertandang ke Malaysia untuk melengkapkan siri jelajah ‘Fourtwnty Nalar Tour’.

Lebih menarik, kumpulan yang membawa genre ‘pop folk’ itu bukan sahaja akan membuat persembahan di ibu negara, tetapi juga menjelajah beberapa negeri seperti Pahang, Johor dan Pulau Pinang.

Nalar yang bermaksud sederhana, sentiasa, selalu adalah judul album ketiga kumpulan itu yang memuatkan 10 buah lagu.

Fourtwnty dianggotai Ari Lesmana, Asep Nurohman, Andika Dwi Putra Arman, Primanda Ridho dan Ryan Maulana dijadual memulakan jelajah di Singapura pada 7 Oktober nanti.

Mereka kemudiannya meneruskan ‘tour’ di Malaysia dengan menyapa peminat di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada 13 Oktober; diikuti Persada Johor International Convention Centre, 15 Oktober; Vervea Trade and Exhibition Centre (VTEC), Batu Kawan, 20 Oktober dan ZEPP Kuala Lumpur pada 22 Oktober.

“Melakukan siri jelajah di beberapa kota di Malaysia adalah sebuah rencana yang luar biasa mampu dilaksana Fourtwnty. Tidak kita sangka mimpi itu bisa dilaksana lewat album ketiga kami, Nalar setelah beberapa siri persembahan sebelum ini hanya di Kuala Lumpur,” kata Ari Lesmana.

“Sampai jumpa nanti, Nalar tidak sabar untuk diraikan bersama-sama.

“Nalar adalah sebuah ubat buat kalian yang mungkin punya sesuatu hal yang tidak bisa disembuhkan, ubat ini kami racik sedemikian rupa,” katanya.

Peminat boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM125 hingga RM500 di www.myticket.asia bermula 5 September lalu.

‘Fourtwnty Nalar Tour’ dibawakan oleh Shiraz Projects dan disokong HotFM sebagai radio rasmi.

Loading...
Terkini