comscore
Tumpuan :
Dunia

Singapura miliki ‘hak eksklusif’ ke atas Taylor Swift?

Taylor Swift di konsert jelajah dunia ‘The Eras Tour’ – FOTO: Taylor Swift/Instagram

Singapura didakwa telah membuat perjanjian dengan bintang pop, Taylor Swift untuk tidak menganjurkan konsert jelajah dunia di mana-mana negara Asia Tenggara, kecuali di republik itu.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mendakwa, beliau dimaklumkan sedemikian oleh penganjur konsert ‘Taylor Swift: The Eras Tour’, AEG Presents.

Kumpulan itu didakwa memberitahu Srettha bahawa kerajaan Singapura telah menawarkan subsidi antara 2 hingga 3 juta dolar Amerika untuk setiap konsert, sebagai sebahagian daripada perjanjian eksklusif.

Swfit ketika beraksi di Tokyo, Jepun pada 7 Februari lalu – FOTO: Reuters

Swift dijadual membuat persembahan selama enam hari di Stadium Nasional Singapura bermula 2 Mac ini, dengan kesemua tiket untuk stadium berkapasiti 55,000 tempat duduk itu habis dijual.

Sejumlah besar peminat di rantau ini termasuk Malaysia, akan tiba di Singapura untuk menonton persembahan berkenaan.

“[AEG] tidak memaklumkan jumlah sebenar tetapi mereka kata, kerajaan Singapura menawarkan subsidi antara 2 hingga 3 juta dolar Amerika,” kata Srettha pada sebuah forum perniagaan di Bangkok.

“Tetapi kerajaan Singapura bijak. Mereka beritahu penganjur untuk tidak membuat konsert di negara lain di Asia Tenggara.

Menjawab dakwaan itu, Kementerian Budaya, Komuniti dan Belia Singapura (MCCY) hari ini menjelaskan, pihaknya mengenal pasti wujudnya permintaan yang tinggi daripada rakyat Singapura dan peminat Swift di seluruh rantau ini.

“Justeru MCCY bekerjasama dengan AEG Presents, dengan disokong Lembaga Pelancongan Singapura (STB) melalui penawaran geran.

Menerusi kenyataan bersama, MCCY dan STB berkata, sektor-sektor pelancongan di Singapura akan mendapat manfaat daripada acara tersebut, seperti bandar-bandar lain yang pernah menerima kunjungan penyanyi itu.

Dengan pengaruh dan kuasa besar Swift yang juga pemenang 14 anugerah Grammy, tidak hairanlah Asia Tenggara turut disifatkan sebagai ‘rumah’ kepada ramai peminat tegarnya atau Swifties.

Tahun lalu, ramai diantara mereka merungut dan kecewa apabila jelajah dunia ‘Eras Tour’ di Asia Tenggara hanya akan singgah di Singapura.

Proses pembelian tiket juga sukar, sehinggakan ada yang terpaksa menggunakan bantuan rakan-rakan dan ahli keluarga untuk mendaftar, disebabkan tempoh menunggu yang terlalu lama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini