comscore
Tumpuan :
Hiburan

MAFE sangkal sabotaj filem Anwar: The Untold Story

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemamer Malaysia (MAFE) menyangkal dakwaan ada unsur sabotaj ke atas filem biopik Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan sejak menemui penonton di 124 pawagam negara pada Khamis lalu.

MAFE yang dianggotai pengendali pawagam di seluruh negara dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan mana-mana naskhah tempatan, malah sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan industri perfileman negara.

“MAFE menyangkal dakwaan dibuat secara tidak adil terhadap pemamer pawagam tempatan mengenai keengganan menayangkan filem berkenaan, seterusnya menghalang sasaran kutipan yang disasarkan mereka.

“MAFE memperjuangkan pertumbuhan industri filem tempatan dengan menyokong produksi tempatan termasuk untuk filem Anwar: The Untold Story,” katanya.

MAFE menjelaskan, setiap pawagam memperuntukkan lima slot tayangan untuk filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation itu.

“Pemamer pawagam tempatan mempunyai purata lima masa tayangan untuk filem Anwar: The Untold Story yang dijadualkan setiap lokasi, meliputi 70 peratus lokasi di seluruh negara.

“Slot tayangan lebih banyak tersedia di pawagam yang terletak di pusat bandar,” katanya.

Terdahulu, produksi filem Anwar: The Untold Story mendakwa sesetengah pawagam cuba mensabotaj tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Walaupun mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila didakwa tidak mendapat slot tayangan seperti permintaan ramai.

Loading...
Terkini