comscore
Tumpuan :
Isu

Angkatan Mahasiswa UM Kemuka 8 Tuntutan Kepada KPT, Universiti

KUALA LUMPUR: Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) mengemukakan lapan tuntutan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UM bagi menjaga kebajikan mahasiswa universiti berkenaan.

Pengerusinya, Nur Nazirah Abdullah, berkata tuntutan itu antaranya meminta KPT mengambil serius isu penempatan mahasiswa di UM dengan mempercepatkan proses pemulangan Rumah Sewa Kesatuan Mahasiswa UM (RSKMUM).

“Untuk jangka masa pendek, KPT harus mendesak pentadbiran UM mempercepatkan proses pembukaan kolej kediaman-13, menyediakan penginapan alternatif kepada pelajar senior dan pemberian bantuan kewangan deposit rumah sewa sekurang-kurangya RM150 kepada mahasiswa berkeperluan yang tidak mendapat kolej kediaman.

“Angkatan Mahasiswa turut mendesak pentadbiran UM memberi penekanan terhadap renovasi kolej kediaman supaya kapasiti pelajar dapat ditingkatkan, penyediaan bilik atau rumah sewa bersubsidi yang lebih kurang dengan harga dikenakan di sekitar kawasan kampus dan mengkaji semula mekanisme pengambilan mahasiswa Tahun 1 pada sesi akan datang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Nur Nazirah berkata, KPT dituntut mengkaji semula jumlah tawaran biasiswa kerajaan, bukan kerajaan dan yayasan negeri yang diberikan supaya lebih releven dengan kos sara hidup.

Katanya, KPT juga harus mempercepatkan proses pengkreditan biasiswa terbabit.

“Selain itu, kami menuntut pemberian barangan keperluan pengajian & pembelajaran seperti baucar buku, alat tulis, dan sebagainya melalui subsidi dari kerajaan. Kami juga mahu supaya proses pemberian bantuan peranti dipercepatkan untuk kegunaan pembelajaran memandangkan kebanyakan universiti bakal menggunakan kaedah pembelajar secara fizikal selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan peningkatan kos penerbangan, penyediaan peruntukan khas dan subsidi kepada mahasiswa dari Sabah dan Sarawak wajar dipertimbangkan.

“Kami juga mahu pembabitan lebih ramai wakil pelajar dan gerakan pelajar dalam mesyuarat pembuat keputusan di peringkat KPT harus dilaksanakan.

“Justeru, Angkatan Mahasiswa ingin mengambil kesempatan ini untuk mendesak KPT dan UM mengambil kira semua cadangan serta tuntutan ini,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini