comscore
Tumpuan :
Isu

Bagi 3,739 Pemandu Nyawa Tak Penting!

KUALA LUMPUR: Harga nyawa hanya setara nilai sebuah telefon pintar. Itu yang berlaku apabila semakin ramai pemandu kenderaan di jalan raya dikesan menggunakan alat telekomunikasi itu ketika menggunakan kenderaan.

Perbuatan ini tidak hanya memfokuskan pemandu kereta semata-mata, malah itu turut membabitkan pemandu kenderaan berat serta penunggang motosikal.

Tidak hanya membuat atau menjawab panggilan telefon, lebih parah ada kalangan pengguna telefon pintar ini turut melayari media sosial dan melihat video sambil membawa kenderaan.

Tindakan berbahaya ini yang boleh menjadi punca hilang tumpuan berisiko mengakibatkan kemalangan jiwa.

Sikap tidak bertanggungjawab itu dapat dilihat dengan jelas melalui tinjauan wartawan Harian Metro sepanjang pemanduan di lebuh raya di sekitar ibu kota dan ketika kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Berdasarkan tinjauan, terdapat segelintir penunggang motosikal yang terlalu leka dengan telefon bimbit sehingga memaksa pengguna kenderaan lain membunyikan hon sebagai amaran.

Lebih membahayakan penunggang motosikal terbabit turut dilihat melanggar lampu isyarat merah, malah ada yang tidak memakai topi keledar terutama di kawasan-kawasan perumahan.

Tinjauan terhadap pemandu kenderaan pula mendapati mereka tidak hanya menggunakan telefon pintar semasa memandu untuk menjawab panggilan atau membalas mesej, tetapi turut melayari media sosial.

Tindakan mereka itu bukan saja membahayakan keselamatan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

Perkara itu turut diakui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengesan penggunaan telefon bimbit semasa memandu antara kesalahan tertinggi yang direkodkan pihaknya menerusi Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, sebanyak 3,739 kes penggunaan telefon bimbit semasa memandu direkodkan bagi tempoh tahun lalu sehingga Jun tahun ini.

Separuh pertama tahun ini saja, beliau berkata, sejumlah 1,484 kes sudah direkodkan manakala baki 2,255 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Namun kesalahan paling tinggi yang direkodkan adalah tidak memakai tali pinggang keselamatan dengan 4,873 kes tahun lalu manakala 3,511 kes bagi tahun ini sehingga Jun menjadikan keseluruhan 8,384 kes.

“Ia diikuti tidak mematuhi lampu isyarat membabitkan 5,064 kes (2021) dan 1,974 kes (sehingga Jun 2022) dengan jumlah keseluruhan 7,038 kes,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, katanya, tidak memakai topi keledar mencatatkan 4,568 kes sepanjang tahun lalu sehingga Jun tahun ini manakala memotong barisan secara bahaya (2,642 kes), menggunakan lorong kecemasan (620 kes), memotong di garisan berkembar (261 kes) dan lain-lain kesalahan (38,798 kes).

Zailani berkata, JPJ sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan sekaligus mengekang kemalangan berlaku.

Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya untuk terus patuh kepada peraturan lalu lintas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini