comscore
Tumpuan :
Isu

‘Kematian OKT Sebelum Proses Pendakwaan Tiada Unsur Jenayah’

IPOH: Kematian orang kena tangkap (OKT) warga emas yang meninggal dunia beberapa jam sebelum sempat dibawa ke mahkamah dari lokap Balai Polis Jelapang, di sini, untuk proses pendakwaan semalam, disahkan bebas daripada sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati kematian lelaki berusia 62 tahun itu berpunca daripada pendarahan di bahagian perut disebabkan sista pankreas.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur kekerasan dan tiada sebarang kecederaan fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan serta merujuk hasil siasatan kepada Koroner.

Semalam, dilaporkan OKT terbabit disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi semalam ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini selepas dikatakan didapati tidak sihat di lokap Balai Polis Jelapang kira-kira jam 9.02 pagi semalam.

OKT berkenaan ditangkap Sabtu lalu mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Jalan Carey, di sini, dengan dia didapati tidak sihat pagi semalam sementara sedang menunggu untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk menjalani pendakwaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini