comscore
Tumpuan :
Isu

Pelakon Remaja Perempuan Jalani Sesi Kaunseling

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengadakan sesi kaunseling, Isnin lalu, dengan pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapanya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau memaklumkan, sesi bersama seorang kaunselor itu diadakan di kediaman remaja berkenaan, dan JKM telah mengambil beberapa tindakan susulan.

“JKM sudah mengadakan sesi kaunseling dengan pergi menyantuni pelakon itu, serta mengambil beberapa tindakan susulan dari segi emosi dan sebagainya.

“Pihak JKM akan mengadakan sesi kaunseling susulan selepas ini. Bapa dan pelakon itu juga masing-masing sudah membuat laporan polis, justeru biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2022-2025, di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah JKM, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, berkata pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling susulan dengan remaja berkenaan, dalam masa terdekat.

“JKM akan turut melihat bantuan lain yang sewajarnya kepada pelakon itu yang turut memaklumkan pendapatannya ketika ini hanya ‘cukup makan’,” katanya.

Ditanya mengenai desakan Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr Raj Karim, supaya pihak yang menyiarkan temu bual dakwaan pelakon remaja itu dikenakan tindakan kerana dilihat sebagai mengeksploitasi golongan berkenaan demi mengejar tontonan tinggi, Shaharuddin berkata, perkara terbabit perlu diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Bagi tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak, kita perlu memperhalusinya dan akan bekerjasama dengan SKMM yang mempunyai bidang kuasa menyekat kandungan tertentu,” katanya.

Baru-baru ini, pelakon remaja itu mendedahkan sikap bapa membabitkan pelbagai dakwaan, termasuk melakukan gangguan seksual terhadap dirinya dan memperlakukan ibunya dengan teruk, ketika ditemu bual dalam satu program melalui YouTube.

Susulan itu, lelaki berkenaan yang menetap di Kedah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu pada Ahad lalu untuk menafikan dakwaan anaknya itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, mengesahkan bapa pelakon terbabit ditahan pada jam 2.25 petang Selasa lalu.

Wan Azlan dipetik berkata, suspek yang berusia 43 tahun ditahan di kediamannya di Kedah sebelum dibawa ke IPD Subang Jaya bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisis.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini