comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Seramai 351 lelaki lapor alami gangguan seksual

KANGAR: Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN) merekodkan seramai 1,213 orang melaporkan gangguan seksual dihadapi mereka sepanjang berlangsungnya 12 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual yang dilancarkan pada Mei lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata daripada jumlah itu, 351 orang atau 28.9 peratus merupakan golongan lelaki.

“Kaum lelaki juga tidak boleh memandang enteng akan isu ini memandangkan kaum lelaki juga turut tidak terkecuali daripada gangguan seksual,” katanya ketika berucap merasmikan program jerayawara peringkat negeri Perlis yang merupakan siri ke-13 di sini hari ini.

Untuk rekod, Jerayawara Advokasi Antigangguan Seksual peringkat kebangsaan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya pada 29 Mei lepas yang antara lain untuk menjadikan masyarakat lebih cakna mengenai isu gangguan seksual sekali gus tidak menormalisasikannya dalam masyarakat.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Aiman Athirah memberitahu yang laporan gangguan seksual direkodkan dalam inventori di bawah PSSS berkenaan antaranya termasuk gangguan seksual di tempat kerja dan di rumah.

Jadi, daripada dapatan itu, yang membuka satu lagi ruang kepada kita untuk membuat kajian melihat kepada situasi sebenar yang mungkin berlaku di peringkat bawah dan mungkin memerlukan advokasi bukan sahaja tentang antigangguan seksual, tetapi tentang menyedarkan komuniti, tentang peranan tugas masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata berdasarkan statistik dilaporkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 477 kes gangguan seksual direkodkan pada tahun lepas berbanding 506 kes pada 2021 dan majoriti mangsa melibatkan kaum wanita.

“Namun, kita harus akui bahawa terdapat banyak kes gangguan seksual yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa dan (mungkin) jumlah sebenar adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata berdasarkan laporan UNICEF Malaysia pada 2021, sekurang-kurangnya empat peratus daripada kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun di negara ini yang menggunakan Internet mengalami ancaman eksploitasi dan penderaan seksual yang jelas dalam talian.

“Kita harus sedar akan hakikat bahawa gangguan seksual boleh terjadi di mana-mana sahaja, dalam apa jua bentuk dan kepada mana-mana individu tanpa mengira jantina, usia, kaum ataupun agama termasuklah golongan yang tidak berdaya seperti kanak-kanak,” katanya. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini