comscore
Tumpuan :
Isu

Pembinaan Stesen, Laluan MRT3 Resahkan Penduduk

AMPANG JAYA: Pembinaan stesen dan laluan Transit Aliran Massa (MRT) 3 menimbulkan keresahan penduduk memandangkan rumah mereka bakal ‘tergadai’.

Penduduk Taman Kencana, Taman Bakti dan Pandah Indah ternyata bimbang sekiranya pengambilalihan kawasan perumahan mereka tahun depan menjadi kenyataan.

Penduduk, Mohd Noor berkata, keresahan penduduk ada asasnya kerana majoriti mereka sudah menetap sejak lebih 30 tahun lalu.

“Kebanyakan penduduk sudah berusia dan jika perlu berpindah sudah pasti ia membebankan.

“Malah sehingga kini kami masih belum tahu apa bentuk pampasan yang ditawarkan syarikat pemaju projek ini namun daripada tinjauan yang dibuat ia hanya wang pampasan.

“Mana mungkin dengan wang pampasan saja kami mampu untuk membeli rumah baharu sedangkan hartanah di kawasan ini berkali ganda nilainya,” katanya ketika ditemui, malam ini.

Terdahulu, lebih 100 penduduk tiga taman ini berkumpul bagi menyatakan bantahan pembinaan MRT3 yang akan mengambil alih tapak rumah yang sudah diduduki sejak puluhan tahun lalu.

Majoriti penduduk masih samar dengan tawaran pampasan yang akan diberikan syarikat pemaju projek.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek MRT3 (JKBMRT3) Taman Kencana, Mohd Najib Mat Nor berkata, pihaknya sudah bertemu dengan wakil pemaju, syarikat perunding termasuk kerajaan negeri bagi menyatakan bantahan.

Katanya, bantahan ini dibuat sebelum Warta 8 dikeluarkan kerana ketika itu keputusan adalah muktamad.

“Kami mahu stesen MRT3 dialihkan ke kawasan lain yang lebih sesuai berbanding mengambil alih kawasan rumah penduduk.

“Keadaan ini adalah tidak adil kerana kebanyakan penduduk tidak tahu sebarang perkembangan perancangan pada peringkat awal.

“Kami akan bertemu dengan Menteri Besar Selangor dan Agensi Pengangkutan Awam Darat dalam masa terdekat untuk pihak pemaju projek mengkaji semula jajaran dan lokasi stesen MRT3 ini,” katanya.

Tambahnya, penduduk kami kerajaan negeri dan pusat lebih cakna dengan rintihan penduduk yang buntu jika terpaksa mengosongkan kediaman tidak lama lagi.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini