comscore
Tumpuan :
Jenayah

102 Pokok Ganja Sudah Diserah Kepada Jabatan Kimia

Pokok ganja yang dirampas di Janda Baik. (Foto: NSTP)

KUALA LUMPUR: Semua 102 pokok ganja yang ditanam di rumah bekas diplomat di Janda Baik, Bentong sudah diserahkan kepada Jabatan Kimia.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed berkata, pokok ganja itu kini dalam proses analisis dan pengesahan jabatan itu.

Katanya, setakat ini polis masih menunggu keputusan analisis yang dibuat Jabatan Kimia sebagai bukti yang akan digunakan dalam perbicaraan kelak.

“Semua pokok ganja yang ditemui di rumah berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Keputusan masih belum diperoleh lagi dan jika analisis sudah lengkap kelak, pihak pendakwaan akan kemukakan dalam perbicaraan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bekas diplomat dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Raub, Jun lalu atas pertuduhan menanam pokok ganja.

Kes itu dianggap rampasan pokok ganja terbesar di dalam sejarah narkotik negara berikutan sebelum ini kebanyakan rampasan hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam di dalam pasu sahaja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini