comscore
Tumpuan :
Jenayah

151 saman Ops Samseng Jalanan di Melaka

Ops Samseng Jalanan yang dijalankan pihak polis di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Bukit Piatu, awal pagi tadi.

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sebanyak 151 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dilakukan penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Bukit Piatu, di sini awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, seramai 69 penunggang motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, selama enam jam dan berakhir jam 5 pagi tadi dengan 19 motosikal disita atas kesalahan pengubahsuaian ekzos.

“Kita juga memeriksa sebanyak 78 kenderaan dan fokus kita adalah untuk membendung kegiatan lumba haram atau samseng jalanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, antara kesalahan paling banyak dilakukan penunggang motosikal ialah tiada lesen memandu yang sah iaitu 24 saman, ubah suai ekzos (23 saman), tiada cermin sisi (16 saman) dan tiada nombor pendaftaran (15 saman).

Kesemua kesalahan tersebut jelasnya, disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam operasi itu katanya, polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang melakukan aksi ‘wheelie’ dan ala ‘superman.’

Remaja itu ditahan di Lebuh AMJ di sekitar Bukit Piatu dan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda dari RM5000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu,” katanya.

Loading...
Terkini