comscore
Tumpuan :
Jenayah

1,663 kes penipuan siber dan multimedia di Pulau Pinang bagi tempoh 10 bulan

 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain

GEORGETOWN: Sebanyak 1,663 kes membabitkan penipuan siber dan multimedia, pelaburan dan e-mel ‘phishing’ dengan kerugian lebih RM27juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini direkod Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia menunjukkan penurunan sebanyak 628 kes berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu 2,291 kes dengan kerugian lebih RM34juta.

“Kerugian yang dialami mangsa pada tempoh itu juga menurun sebanyak lebih RM6.9juta namun begitu, ia masih berada pada tahap membimbangkan.

“Pelbagai modus operandi digunakan penjenayah bagi mempengaruhi mangsa dengan tipu daya sehingga mengalami kerugian yang besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, antara kes yang diterima pada Mei lalu membabitkan mangsa wanita berusia 58 tahun mengenai penipuan sindiket pelaburan.

Mangsa yang juga ahli perniagaan mengenali suspek ketika berada di Taiwan dan mengalami kerugian sebanyak RM518,000.

“Mangsa ditawarkan bagi menyertai pelaburan bersama syarikat telekomunikasi multimedia di Malaysia dan dijanjikan pulangan sebanyak tiga kali ganda dalam masa setahun tanpa menyedari ditipu,” katanya

Sementara itu pada Oktober, polis menerima laporan daripada wanita berusia 52 tahun yang juga surirumah mengenai penipuan sindiket e-dagang membabitkan penjualan kereta mewah di media sosial Facebook.

Kata Mohd Shuhaily, mangsa berminat bagi membeli kereta yang diiklankan dan berhubung dengan suspek menerusi platform itu

“Mangsa melakukan transaksi dalam talian secara berperingkat membabitkan kerugian sebanyak RM327,000.

” Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, ” katanya.

Sehubungan itu PDRM menasihati orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali dalam media sosial dan sentiasa bijak menggunakan teknologi.

“Orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan setempat ‘CCID Scam Response Center’ di talian 03-26101599 atau layari laman Facebook Cyber crime Alert Royal Malaysia Polis dan CCID Penang bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes penipuan terkini,” kata Mohd Shuhaily.

Loading...
Terkini