comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘Runner’ warga Taiwan disyaki orang suruhan sindiket dadah dicekup, dadah RM572,000 dirampas

MOHD Shuhaily (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah serta senjata api pada susulan tangkapan warga Taiwan di di IPK Kuala Lumpur, hari ini. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Taktik menjadikan rumah kedai sebagai stor sindiket pengedaran dadah terbongkar selepas seorang warga Taiwan dipercayai ‘runner’ dicekup, dalam Operasi Khas di sebuah pangsapuri di Cheras, di sini, 27 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai bersekongkol menjadi orang suruhan seorang lagi suspek warga tempatan yang sedang dikesan.

“Pemeriksaan tubuh menjumpai 10 biji pil dipercayai erimin 5 dan dipandu arah oleh suspek pihak polis ke sebuah rumah kedai di Kajang, Selangor.

“Premis itu dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan dadah, hasil pemeriksaan polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock dan 30 butir peluru hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek yang masuk menggunakan pas lawatan sosial pada 2016 baru sahaja dibebaskan selepas ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 pada 2018.

Katanya, suspek seterusnya ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di Penjara Sungai Buloh sejak tahun 2020, sebelum dibebaskan sekitar Februari lalu.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya merampas 20,000 biji pil erimin 5, methamphetamine (3.2 kilogram (kg); ekstasi (3.2kg); MDMA (0.6); pati heroin (0.7kg) dan nilai keseluruhan dadah dirampas RM572,000.

“Buat masa ini kita belum dapat kenal pasti pembekal dari mana asalnya dadah berkenaan namun kita percaya ia untuk pasaran tempatan.

“Dia (suspek) adalah runner untuk seorang lelaki warga tempatan, kalau dapat (kesan) baru kita boleh tahu lebih lanjut,” katanya.

Katanya, identiti lelaki tempatan itu sudah dikenal pasti dan usaha menjejak suspek berkenaan sedang dijalankan.

Menurutnya, pihaknya sedang menanti keputusan ujian balistik bagi menentukan asal usul senjata api terbabit.

“Suspek direman tujuh hari sejak 28 Julai hingga 3 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Loading...
Terkini