comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 beradik ditahan edar dadah

Foto hiasan

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan empat lelaki termasuk dua beradik yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi tiga serbuan berasingan di Kota Bharu dan Pasir Mas, Khamis lalu.

Hasil penahanan kesemua suspek berusia antara 21 hingga 48 tahun itu, polis turut merampas 12,200 biji dipercayai pil yaba dan sepucuk pistol jenis semi automatik.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah bangsal di Taman Desa Rahmat, di sini, jam 9.48 malam membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun.

Katanya, hasil penahanan suspek yang bekerja sebagai peniaga dan pengembala lembu menemui 600 biji dipercayai pil yaba, 5.7 gram ganja, 0.5 liter air ketum dengan nilai keseluruhan RM6,315.

“Pada masa sama kita turut merampas sepucuk pistol jenis semi automatik yang dibaling suspek di lokasi kejadian.

“Siasatan mempunyai suspek mempunyai rekod lampau dibawah Akta Racun. Kita masih siasat apa peranan suspek sama ada sebagai pengedar atau orang tengah,” katanya yang suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan jam 7.15 malam di tepi jalan Kampung Perangkap Bunut Susu di Pasir Mas.

“Hasil serbuan ini kita menahan seorang buruh lelaki berusia 48 tahun dan merampas 2,000 biji pil yaba dengan anggaran nilai RM20,000.

“Susulan tangkapan itu, polis membuat serbuan di sebuah rumah di kampung yang sama dan menahan dua beradik berusia 21 dan 24 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 9,600 biji pil dipercayai pil yaba yang bernilai RM96,000,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman seminggu.

Loading...
Terkini