comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Yasin diberi tempoh sebulan untuk lantik peguam 

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini memberi tempoh sebulan kepada penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, untuk melantik peguam bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya atas tuduhan kes dadah.

Ia selepas Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman, memutuskan 24 Mei depan untuk pengurusan kes seterusnya dan lantikan peguam.

Azmi berkata, Muhammad Yasin perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan lantikan peguam seminggu sebelum tarikh berkenaan.

“Rekod rayuan akan diserahkan pada sebutan semula kes itu dan langkah seterusnya hanya akan dimaklum pada tarikh terbabit,” katanya.

Mendengar perkara itu, Muhammad Yasin menegaskan akan memaklumkan mengenai status lantikan peguam kepada mahkamah dalam masa terdekat.

Pada 29 November lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer berusia 49 tahun itu atas tiga tuduhan kes dadah.

Bagaimanapun, Hakim Faiz Dziyauddin, mengarahkan penyanyi itu ditempatkan di bawah jagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Muhammad Yasin akan ditempatkan di hospital berkenaan selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor di bawah Seksyen 348(2) KTJ.

Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Yasin ketika ditemui pemberita berkata, prosiding rayuan itu adalah satu pembaziran masa dan tenaga kerana kes sudah dibuktikan dengan dirinya dibebaskan atas tuduhan dadah di Mahkamah Sesyen.

“Semasa perbicaraan, semua yang beri keterangan adalah penjawat awam seperti anggota polis, saksi dari Jabatan Kimia dan doktor yang merawat saya di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

“Jadi maknanya tiada yang terkhilaf, semua saksi memberi keterangan sempurna,” katanya.

Penyanyi itu berkata, pengalamannya di sebalik tirai besi atau penjara akan diceritakan dalam buku yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Saya ada tulis buku tetapi belum siap lagi. Ia berdasarkan pengalaman sepanjang berada di penjara dan Hospital Bahagia.

“Nama buku itu ‘Dari Pentas Juara Ke Penjara’ namun saya tidak pasti dapat terbitkan tahun ini atau tarikh lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini