comscore
Tumpuan :
Jenayah

42 akaun bank sindiket tawar kemudahan FPX untuk judi dalam talian dibekukan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) menumpaskan satu sindiket yang memberi kemudahan ‘Payment Gateway’ (FPX) kepada puluhan sindiket perjudian dalam talian.

Sindiket yang berselindung di belakang sebuah entiti atas satu nama syarikat itu dikenal pasti menyalahgunakan kelompongan sistem pembayaran dalam talian, untuk membantu aktiviti perjudian dalam talian.

Malah, sindiket sama pernah menjalankan transaksi pembayaran judi dalam talian berjumlah RM576 juta dalam tempoh setahun, selain aktiviti jenayah lain.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, PDRM, Datuk Mohammed Hasbullah Ali, berkata 10 ahli sindiket termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri, berusia antara 27 hingga 49 tahun yang menjalankan kegiatan berkenaan sejak pertengahan tahun 2022 ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, antara 28 hingga 31 Januari lalu, dibantu Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Pihak AMLA turut membekukan 42 akuan perbankan bernilai lebih RM18 juta yang dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian dalam talian.

“Siasatan awal mendapati sindiket sama telah berjaya melakukan transaksi sehingga mencecah kepada RM576 juta setahun hasil daripada kadar perolehan (turnover) pembayaran dan penerimaan hasil aktiviti perjudian.

“Kejayaan tangkapan ini adalah yang pertama dan rampasan terbesar yang pernah dibuat membabitkan sindiket payment gateway (FPX),” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mohammed Hasbullah berkata, berdasarkan risikan, sindiket FPX ini membangunkan satu platform FPX bernama ‘MyPay88’ yang digunakan sebagai satu medium untuk pemain-pemain judi membuat bayaran bagi memulakan suatu pertaruhan.

“Dalam usaha membanteras kegiatan perjudian dalam talian dan jenayah berkaitan, pihak polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti berkaitan dengan perjudian dalam talian,” katanya.

Beliau berkata semua suspek itu direman antara tiga hingga 11 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(C) dan 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2011.

Selain membeku 42 akuan bank, pasukan AMLA turut merampas sembilan unit telefon bimbit, tiga peralatan komputer, empat set dokumen, dua utas jam tangan, 10 kenderaan mewah dan wang tunai RM325,000.00.

Sehingga semalam, katanya, pembayaran menerusi sistem FPX masih dibuat oleh pemain-pemain judi sehingga mencecah RM18 juta, namun dalang sindiket berkenaan sudah ditahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini