comscore
Tumpuan :
Jenayah

APMM Kuala Kedah rampas 300 set bubu naga

Oleh Kumaran Rajamoney

KUALA KEDAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 300 set ‘bubu kambang’ atau bubu naga dalam satu operasi khas (Op Aman) yang dilaksanakan bersama komuniti nelayan di beberapa lokasi sepanjang perairan Pantai Murni hingga ke Tanjung Dawai pada awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir berkata, operasi khas ini dilaksanakan berdasarkan aduan awam di lokasi berkenaan yang kerap kali diterima oleh pihak APMM.

“Sepuluh lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.”

“Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelampung penanda dan pancang kayu yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang itu,” katanya.

Kesemua bubu naga yang dirampas adalah dianggarkan bernilai RM 36,000 itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Beliau menasihati komuniti nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti yang telah diperuntukan.

APMM katanya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang Persekutuan dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Loading...
Terkini