comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 446 bot nelayan asing ditenggelamkan di perairan negara

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 446 buah bot nelayan asing ditenggelamkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan negara ini sejak 2008 sehingga hari ini. Daripada jumlah itu 90 peratus adalah bot Vietnam dan selebihnya bot nelayan Thailand membabitkan nilai rampasan RM1.7 bilion.

Terbaharu agensi itu melupuskan tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Bidong, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM Malaysia, Khairul Anwar Bachok berkata pelupusan tiga bot itu sebagai tukun tiruan merupakan sumbangan APMM kepada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi akiviti penyelidikan kajian akademik di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong.

Kesemua bot itu dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2022 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara. Ketiga-tiga bot ini ditahan melalui OP NAGA BARAT dan OP KUDA LAUT yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) GEMIA dan KM NUSA. Ini merupakan pelupusan kesepuluh dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 20 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak dari mahkamah pada tahun ini. Sehingga kini, sejumlah 159 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran nilai RM238.5 juta.

Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram. Selain UMT, program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (1SMAT).

Menurut Khairul, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

Sementara itu, menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. ChM. Dr Marinah Mohd Ariffin kesemua bot nelayan asing yang dilupuskan menjadi tukun telah mengikut garis panduan supaya tidak mencemarkan laut dan merosakkan ekosistem marin. Jelasnya, tukun berkenaan dijangka bakal merancakkan ekonomi kepada nelayan pesisir pantai dan dapat mencegah penggunaan pukat tunda di perairan terbabit.

Loading...
Terkini