comscore
Tumpuan :
Jenayah

APMM patahkan cubaan seludup lembu, kambing dari negara jiran

Bot ronda APMM menemukan kambing dan lembu hidup dimuat dalam bot yang disyaki cuba diseludup masuk ke Kudat. FOTO: APMM Kudat

KUDAT: Tiga individu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana cuba menyeludup haiwan ternakan tanpa permit sah dengan menggunakan bot dari negara jiran ke daerah ini, semalam.

Pengarah APMM Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata suspek ditahan di perairan barat laut Tanjung Pulun Batu, Pulau Balambangan.

Semakan oleh anggota APMM dari Bot Ronda Zon Maritim Kudat menemui empat ekor lembu dan empat ekor kambing hidup dimuat dalam bot yang dikemudi suspek.

Jelas Maurice Grenville, Pusat Operasi Zon Maritim Kudat menerima satu maklumat berhubung kejadian itu melalui pengesanan mencurigakan daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.

Katanya, bot ronda yang pada ketika itu sedang melaksanakan rutin rondaan segera diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemantauan.

“Pada 1.50 pagi sebuah bot berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di posisi 2.8 batu nautika barat laut Tanjung Tiga Papan dan seterusnya ditahan untuk diperiksa.”

“Melalui pemeriksaan yang dilakukan, tiga individu didapati berada di dalam bot berkenaan (membabitkan) seorang warga tempatan manakala dua orang lagi warga Filipina berusia lingkungan 46 hingga 54 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Semua suspek bersama bot dan barang rampasan ditahan untuk siasatan lanjut.

Kesemua empat ekor lembu dan empat ekor kambing berkenaan dipercayai diseludup bagi tujuan untuk dijual di pasaran tempatan.

Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM35,000.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan 2015 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak memiliki lesen bot.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini