comscore
Tumpuan :
Jenayah

Awas mesej pautan bantuan Rahmah di Telegram 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Godam akaun Telegram sebelum hantar mesej sumbangan bantuan Rahmah kepada orang ramai secara rawak dan kenalan akaun pengguna yang digodam.

Itu taktik terbaharu sindiket penipuan yang cuba memperdayakan mangsa dengan menghantar pautan sumbangan bantuan Rahmah kononnya dari kerajaan untuk diisi, sebelum wang simpanan yang ada di dalam bank seseorang akan dipindahkan ke akaun lain.

Mangsa yang teruja terutama dalam kalangan B40 dan menyangka layak menerima bantuan, yang tanpa sedar mengikut arahan sindiket terbabit namun terpedaya dan wang simpanan mereka lesap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini, pihaknya menerima 22 laporan polis berkaitan “Bantuan Rakyat – Sumbangan Asas Rahmah” membabitkan kerugian RM1,259.41.

Menurutnya, dalam kes yang diterima tu, majoritinya adalah berkaitan akaun Telegram pengadu digodam.

“Selepas itu akaun itu digunakan untuk menghantar mesej bantuan rakyat terbabit.

“Daripada 22 laporan diterima, 21 kes membabitkan akaun digodam dan satu kes membabitkan mangsa yang terpedaya dan kerugian apabila wang simpanan di dalam bank lesap,” katanya.

Ramli berkata, berdasarkan siasatan, mangsa menerima mesej berkenaan bantuan rakyat melalui aplikasi Telegram.

“Mangsa menekan link (pautan) yang diberikan dan mengisi semua butiran yang diperlukan termasuklah maklumat perbankan.

“Mangsa kemudiannya memasukkan nombor TAC yang dihantar kononnya untuk tujuan pengesahan. Setelah itu, mangsa akan mendapati wang dalam akaunnya berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk meningkatkan tahap keselamatan akaun Telegram bagi mengelakkan digodam dan disalahgunakan.

“Polis juga menasihatkan jika menerima mesej berkaitan pakej bantuan kerajaan semak terlebih dahulu kesahihannya bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Loading...
Terkini