comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bakar kedai sebab tak dapat beli bunga api

Keadaan gerai menjual limau, bunga api serta mercun selepas kejadian kebakaran petang semalam.

KLANG: Berang kerana tidak dapat membeli bunga api, seorang lelaki bertindak membaling sebotol minyak petrol ke sebuah gerai jualan sehingga menyebabkan kebakaran dalam kejadian di Taman Eng Ann dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata suspek warga tempatan dan berusia 25 tahun menaiki motosikal ke gerai berkenaan untuk membeli bunga api pada jam 4.30 petang.

Katanya, mangsa yang juga menjual limau serta mercun membungkus bunga api yang diminta suspek sebelum mendapat tahu suspek tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran.

Disebabkan itu, mangsa kemudian mengambil semula bungkusan bunga api yang mahu dibeli oleh suspek.

Berang dengan tindakan mangsa, suspek datang semula ke gerai itu pada kira-kira jam 7 malam dan membaling satu botol dipercayai mengandungi petrol ke arah gerai mangsa.

“Tindakan lelaki tersebut telah mengakibatkan sebahagian gerai dan barangan jualan telah terbakar dan kerugian yang dialami mangsa adalah sekitar RM18,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba dan mangsa tampil membuat laporan polis hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditangkap di Taman Karuppiah, Padang Jawa, dekat sini jam 1 tengah hari, tadi.

Suspek yang juga penganggur mempunyai dua rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini