comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bekas calon PRU-15 antara yang ditahan berhubung video guna senjata api

Foto hiasan

PETALING JAYA: Polis menahan dua individu termasuk seorang bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi membantu siasatan berhubung video penggunaan senjata api tanpa lesen serta kebenaran yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan 6.53 petang semalam.

“Siasatan mendapati, klip video melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor itu dimuatnaik oleh seorang pengguna media sosial di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, dua individu terdiri daripada seorang lelaki berumur 41 tahun dan seorang wanita berumur 28 tahun ditahan dalam tangkapan kira-kira jam 10.20 malam oleh sepasukan anggota polis di kawasan Petaling Jaya.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan termasuk senjata dipercayai digunakan dalam video berkenaan iaitu sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock dan 12 butir peluru hidup.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8(A), 8(B) dan Seksyen 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Loading...
Terkini