comscore
Tumpuan :
Jenayah

Berpura-pura nak beli sebelum larikan rantai emas 

Foto hiasan

AMPANG: Seorang pemandu lori berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah kedai emas di Jalan Dagang, di sini 4 April lalu sebelum melarikan seutas rantai emas seberat 22.34 gram bernilai RM7,774.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata pada hari kejadian suspek seorang lelaki tempatan berusia 30an datang ke kedai berkenaan jam 12.30 tengah hari kononnya mahu membeli rantai emas untuk isterinya.

“Mangsa berusia 32 tahun adalah pekerja kedai emas berkenaan mengeluarkan tiga utas rantai leher dan meletakkan di atas meja untuk dilihat oleh suspek.

“Kemudian suspek mengambil salah satu rantai dan meletakkan di atas ribanya untuk mengambil gambar rantai.

“Suspek berpura-pura menghubungi isterinya sebelum mengambil satu rantai emas dan memasukkan ke dalam poket seluar tanpa disedari pekerja berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selepas itu, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia mahu membuat pengeluaran wang di bank lalu terus beredar.

Menurutnya, mangsa yang berasa curiga dengan kelakuan suspek berkenaan memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis terbabit sebelum membuat laporan polis selepas mendapati suspek mencuri rantai emas.

“Jam 2 petang kelmarin (18 April) sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ampang Jaya menahan suspek yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran dalam serbuan di tepi Jalan Ampang Waterfront, di sini.

“Soal siasat mendapati rantai emas berkenaan sudah dipajak di sebuah kedai pajak gadai namun pihak polis berjaya memperolehnya semula,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif.

Nazruel berkata, suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun untuk kesalahan kali pertama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini