comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bot nelayan Vietnam ditahan dekat Pulau Tioman

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan enam kru termasuk tekong kerana menceroboh serta menangkap ikan kira-kira 35 batu nautika di timur laut perairan Pulau Tioman.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama (Maritim) Mazlan Mat Rejab berkata, turut dirampas 250 kilogram hasil tangkap laut.

Menurutnya, bot terbabit dikesan pasukan udara Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan di Perairan Pahang, petang kelmarin.

Katanya, kapal Maritim Malaysia terbabit dengan ‘Op Makmur dan Op Tiris’ berada berhampiran kawasan itu diarah memeriksa bot nelayan terbabit.

“Menyedari kehadiran Maritim Malaysia nelayan terbabit cuba melarikan diri dan setelah dikejar lebih sejam bot terbabit dipintas dan ditahan,”

“Hasil penggeledahan enam kru termasuk tekong berusia antara 19 dan 37 tahun warga Vietnam ditahan di atas bot kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,”

“Mereka turut mengemukakan lesen bot meragukan dan tidak mempunyai kebenaran menangkap ikan di perairan negara.” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mazlan berkata, bot dan semua nelayan terbabit dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway, di sini untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, hasil tangkap serta nilai rampasan termasuk bot nelayan itu dianggarkan lebih RM1.7 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan sabit kesalahan tekong bot boleh didenda hingga RM6 juta dan setiap kru RM600,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini