comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kerani kerugian RM127,000 terpedaya skim pelaburan dalam talian

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Seorang kerani wanita kerugian RM127,000 selepas terpedaya dengan janji manis oleh skim pelaburan dalam talian yang menawarkan kadar keuntungan segera dan berlipat ganda.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitanden Sohaimi Ishak berkata mangsa yang tertarik dengan skim pelaburan berkenaan telah melakukan 4 transaksi dalam tiga akaun berbeza bermula 17 April hingga 26 April lalu membabitkan jumlah RM127,000.

“Mangsa pada mulanya melabur sejumlah wang dan mendapat pulangan lebih 100 peratus. Mangsa kemudiannya bertindak menggandakan pelaburan, namun tidak mendapat sebarang pulangan sebaliknya mangsa diarah membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan sekali gus menyedarkan mangsa telah ditipu” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa tampil membuat laporan polis di sini semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sohaimi berkata siasatan juga mengambil kira pembabitan “keldai akaun” dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menerima sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan pantas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini