comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bunuh, bakar kekasih kerana mahu rahsiakan kehamilan

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias (tengah) menunjukkan gambar kandungan dan pisau dalam kes pembunuhan seorang wanita yang dibakar dalam kawasan belukar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini. – FOTO : NSTP

SUNGAI BESAR: Mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan seks dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita di Jalan Sungai Limau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pelayan sebuah restoran ditemui dalam keadaan terbakar oleh orang awam di kawasan belukar kebun kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang terbabit dalam kejadian itu di kawasan Sungai Besar.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 20 tahun baru menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

“Suspek dan mangsa dikatakan adalah pasangan kekasih dan sudah menjalin hubungan selama setahun. Malah, mangsa dipercayai hamil empat bulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Agus Salim berkata, hasil soal siasat mendapati suspek pada kali pertama mengaku keluar bersama mangsa dengan menaiki kereta milik keluarganya malam kelmarin.

“Lelaki itu memukul kekasihnya sehingga pengsan dan menikam perut wanita itu menggunakan pisau disyaki untuk mengeluarkan kandungan.

“Suspek kemudian bertindak membakar mangsa dengan menggunakan petrol. Untuk kali kedua (semalam), suspek sekali lagi hadir ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal.

“Dia membakar mayat mangsa bertujuan untuk melupuskan bahan bukti,” katanya.

Agus Salim berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau.

Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan jenayah itu berseorangan.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan dia direman selama enam hari sehingga 29 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kini berada di Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini