comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cantik dan murah tapi rupa-rupanya barang seludup

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysa (JKDM) Terengganu melumpuhkan sindiket pengedaran kenderaan mikrobiliti seludup susulan rampasan 147 unit kenderaan itu di dua lokasi berasingan di sini pada Khamis lalu.

Menurut Pengarah Kastam Negeri Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin hasil siasatan terhadap dokumen pembelian dan pengimportan yang dikemukakan pemilik premis mendapati kesemua kenderaan yang dirampas telah diseludup masuk ke dalam negara tanpa kebenaran.

Antara barangan larangan import yang dirampas adalah kenderaan mikrobiliti seperti moped bike, basikal kuasa elektrik dan Personal Mobility Devices (PMD).

Rampasan dibuat di dua lokasi secara serentak pada Khamis lalu pada kira-kira jam 11.00 pagi.

Dalam serbuan di lokasi pertama, 130 unit kenderaan tersebut dianggarkan bernilai RM346,200 dan cukai sebanyak RM252,726 dirampas.

Manakala di lokasi kedua, sejumlah 17 unit kenderaan mikrobiliti disita dengan nilai pasaran dianggarkan RM64,088 dan cukai RM45,068,60.

Jelas Mohd Nadzri, pihak sindiket membawa masuk kenderaan itu secara komponen terlerai dan melakukan ikrar palsu ketika proses pengimportan.

Komponen kenderaan tersebut kemudiannya dipasang di gudang-gudang pihak sindiket sebelum diedarkan kepada penjual di seluruh negara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua pemilik premis berusia 39 dan 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan JKDM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini