comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Cubaan seleweng diesel di Bukit Kayu Hitam gagal, 9 individu ditahan

 

PETALING JAYA: Sembilan individu, tiga daripadanya lelaki tempatan dan enam warga Thailand ditahan  kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Mereka ditahan dalam serbuan oleh pihak polis ke atas premis pemborong minyak diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, serbuan jam 1 petang semalam melibatkan sitaan diesel sebanyak 135,760 liter bernilai kira-kira RM291,884.

Turut dirampas, tujuh lori, 10 unit skid tank, tiga mesin pam minyak, lapan ‘nozzle’ pam, dua unit tangki silinder dan dua unit alat kawalan jauh pintu pagar.

“Enam daripada tujuh lori yang disita memiliki nombor plat Thailand.

“Selain itu, wang tunai berjumlah THB 192,902 (RM25,300) turut dirampas.

Mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an. Nilai keseluruhan barangan yang disita dianggarkan lebih RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan lanjut  mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan pertama dan tidak lebih RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya.

Loading...
Terkini