comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan seludup kokain hitam RM1.34 juta tumpas

Sazali (dua dari kiri) menunjukkan bagasi yang digunakan untuk menyeludup dadah kokain hitam bernilai RM1.34 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam, Kampung Jijan, hari ini. – Foto: NSTP/Azrul Edham

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis kokain hitam bernilai RM1.34 juta ke negara ini menggunakan keldai dadah melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), awal bulan ini.

Dadah berbentuk kepingan getah menggunakan teknik ‘mould injection’ dan dijadikan pelapik di bahagian dalam bagasi itu dibawa seorang wanita dari negara Amerika Selatan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohamad, berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan ketika cuba masuk ke negara ini di KLIA, kira-kira jam 4 petang pada 6 November lalu.

“Melalui semakan ke atas tiket penerbangan, suspek menaiki pesawat milik syarikat penerbangan luar negara yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ke KLIA pada 6 November.

“Hasil pemeriksaan ke atas dua bagasi dibawa suspek menemui dua kepingan getah berwarna hitam yang tersembunyi di bahagian dalam bagasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam, Kampung Jijan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian dilakukan mendapati kepingan getah itu disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis kokain hitam dengan anggaran berat 6.7 kilogram bernilai RM1.34 juta.

“Siasatan awal mendapati suspek baru pertama kali masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong dan dadah yang dibawanya adalah untuk pasaran Malaysia.

“Suspek wanita itu menerima bayaran AS$500 (RM2,293) bagi membawa bagasi ini dan dia direman 11 hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Sazali memberitahu sindiket itu mencampurkan kokain dengan bahan kimia menggunakan teknik mould injection untuk menghasilkan satu kepingan getah hitam yang dijadikan pelapik bagasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Campuran bahan kimia itu juga bagi meneutralkan bau dadah supaya tidak dikesan anjing pengesan. Ini adalah modus operandi yang pertama kali dikesan masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Loading...
Terkini