comscore
Tumpuan :
Jenayah

Curi barang kemas RM90,000 di rumah mentua

Foto hiasan

BAYAN LEPAS: Seorang wanita ditahan selepas disyaki mencuri barangan kemas bernilai RM90,000 di rumah ibu mentuanya di Halaman Mayang 6, Bayan Baru di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, barangan kemas itu disedari hilang pada November 2022, sebelum biras suspek membuat laporan polis empat hari lalu.

“Barangan kemas diletakkan di dalam beg hitam di almari ruang tamu di rumah ibu mentua sebelum didapati hilang pada 5 November lalu.

“Laporan polis dibuat biras suspek selepas mengesyaki barangan kemas itu dicuri wanita berkenaan.

“Suspek ditahan di rumah bapanya di Sik, Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, polis turut merampas sebanyak 11 resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram dan sebentuk loket emas anggaran berat 26 gram.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dengan kegiatan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Suspek yang tidak bekerja direman selama tiga hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi bilik gerakan IPD Barat Daya di talian 04-8664122, 0192238169 (WhatsApp) atau Facebook IPD Barat Daya menerusi aplikasi Messenger.

Loading...
Terkini