comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wanita OKU ditahan akibat mengamuk di pusat beli belah

BAYAN LEPAS: Mengamuk, rosakkan patung premis pakaian, wanita OKU ditahan.

Akibat merosakkan patung serta kain rentang sebuah premis pakaian di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini, semalam, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditahan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada pembantu premis pakaian berkenaan pada jam 5.50 petang hari yang sama.

Katanya, wanita berusia 26 tahun itu terdahulu dikatakan membuat bising di hadapan premis sebelum merosakkan patung.

“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa wanita berkenaan membuat bising di hadapan premis sebelum memukul dan menendang patung serta kain rentang menggunakan papan selaju (skateboard) di dalam premis.

“Susulan itu, kita menahan wanita berkenaan selain merampas papan selaju yang digunakan bagi merosakkan patung berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kamarul Rizal berkata, keluarga wanita itu menetap di Cameron Highlands, Pahang.

Katanya, ibu saudara wanita itu memaklumkan bahawa dia mempunyai masalah kesihatan selain OKU kategori terencat akal.

“Wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan dia mempunyai masalah psikiatri,” katanya lagi.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 35 saat memaparkan seorang wanita memakai baju warna putih dan berseluar pendek bertindak merosakkan patung di sebuah premis pakaian di sebuah pusat membeli belah.

Loading...
Terkini