comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Buli junior, lima pelajar MRSM Balik Pulau ditahan

 

BALIK PULAU: Lima pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, ditahan bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar di sekolah berkenaan, Khamis lalu.

Difahamkan, kejadian pada jam 11 malam itu berlaku di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan apabila seorang pelajar tingkatan tiga dipukul, dengan alasan lambat turun bagi solat Subuh.

Difahamkan juga, mangsa mengalami luka kecil pada bahagian badan akibat dipukul kumpulan pelajar terbabit, menggunakan kaki serta tangan dan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada bapanya pada keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan penahanan dibuat pada hari yang sama, sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa.

“Semua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Rizal berkata, siasatan polis juga mendapati kelima-lima suspek turut membuli seramai 14 mangsa lain pada tarikh sama, di antara jam 11 malam hingga 12.30 tengah malam, di tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di Blok B.

“Namun, tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini,” katanya lagi.

Sementara itu, ibu seorang pelajar berkata, kejadian buli itu hanya diketahui umum selepas ada waris meminta kenyataan balas daripada pihak MRSM berhubung isu terbabit menerusi satu aplikasi.

Beliau berkata, setakat ini, tiada kenyataan diberi pihak MRSM berhubung kejadian itu atau mungkin kenyataan hanya dibuat kepada ibu bapa pelajar yang terbabit.

“Anak saya tidak terbabit atau dibuli, cuma apabila ditanya, dia memberitahu ada pelajar tingkatan lima memanggil pelajar tingkatan tiga secara beramai-ramai pada Sabtu lalu.

“Pelajar tingkatan lima itu memberi amaran supaya menghormati dan memberi salam jika berselisih dengan mereka,” katanya.

Menurut ibu pelajar itu, beliau difahamkan, dalam perjumpaan berkenaan anak perempuannya tidak dibuli atau dipukul, sebaliknya hanya diberi peringatan mulut kerana mereka menyifatkan pelajar tingkatan tiga terlalu ‘manja’.

“Namun, kami dikejutkan dengan kejadian buli yang membabitkan tangkapan pada Jumaat lalu dan ia membabitkan pelajar lelaki,” katanya.

Loading...
Terkini