comscore
Tumpuan :
Jenayah

Curi kabel telekomunikasi, empat suspek ditahan

KOTA KINABALU: Empat lelaki termasuk dua warga Filipina ditahan polis kerana disyaki terbabit kes curi kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di bandar raya ini membabitkan kerugian RM51,500.

Keempat-empat suspek ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerusi beberapa siri serbuan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata pihaknya menerima dua laporan kes curi kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Kebajikan dan Jalan Rampayan, Manggatal, pada 13 dan 14 April lalu dengan anggaran kerugian RM51,500.

Katanya, hasil daripada maklumat yang diperoleh, pada 5 pagi Jumaat lalu, di tepi jalan kawasan penempatan Telipok, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan.

“Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan kerana dipercayai pencuri kabel dan susulan penahanan itu, polis merampas barang kes dalam simpanan suspek iaitu kabel perak serta tembaga yang sudah dibakar untuk tujuan dijual bagi mendapatkan wang.

“Hasil pengakuan dan pendedahan kedua-dua suspek, membawa anggota polis ke tempat pembeli hasil kabel curi berkenaan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan penempatan Telipok iaitu tempat mereka menjual hasil kabel/tembaga yang dicuri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya kemudian menahan seorang lelaki warga Filipina iaitu pekerja di premis berkenaan.

“Hari yang sama, kira-kira jam 12 tengah hari, bertempat di kawasan semak berhampiran Jalan Kebajikan, polis sekali lagi berjaya menangkap seorang lagi suspek warga Filipina dipercayai terbabit dalam kes curi kabel.

“Rakan sejenayahnya berjaya melarikan diri. Turut dirampas barang kes iaitu beberapa gulung kabel yang sudah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan curi kabel,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini