comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga sekawan ditahan curi kabel telekomunikasi

Foto: NSTP

TAIPING: Harga kabel telekomunikasi yang mencecah RM50,000 segulung, mendorong tiga sekawan melakukan kegiatan mencuri kabel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 27 tahun ditahan ketika membuka lubang utama kabel kira-kira 12.20 tengah malam, dalam serbuan di Padang Gajah, Trong, Jumaat lalu.

“Pemeriksaan mendapati mereka ini baru berjinak dalam kegiatan mencuri kabel. Turut ditemui besi T iaitu pembuka lubang, kuku kambing, tukul besi, pemotong besi dan pemutar skru.

“Modus operandi mereka adalah mensasarkan kabel bawah tanah, memotong lalu menariknya dengan kenderaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping,hari ini.

Katanya, sebuah kereta milik seorang suspek turut dirampas dan nilai kabel yang dicuri dianggarkan sekitar RM20,000.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang melakukan kegiatan samun stesen minyak dan ragut pada hari sama.

Menurutnya, penahanan suspek membawa kepada penyelesaian tujuh kes membabitkan tiga kes samun stesen minyak di Simpang dan empat kes ragut yang berlaku di Taiping, Simpang dan Pokok Assam.

“Suspek yang juga penagih dadah tegar melakukan kegiatan secara solo dan mensasarkan wanita berusia 40 hingga 60-an untuk meragut.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sebilah pisau, sebilah kerambit, dua telefon bimbit, topi keledar dan sebuah motosikal,” katanya.

Katanya, keempat-empat suspek berkenaan direman sehingga 24 Januari ini bagi siasatan lanjut.

Loading...
Terkini