comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Dakwa lelaki Israel: Pihak pendakwaan akan serah rakaman CCTV dan analisis forensik 30 Julai

 


Oleh: Fareez Azman  

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom, 38 yang dituduh memiliki ratusan peluru dan memperdagangkan enam pistol akan menyerahkan dokumen rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan analisis forensik pada 30 Julai depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam membuat permohonan itu di hadapan Hakim Norina Zainon Abidin ketika sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini.

“Kami masih ada beberapa dokumen termasuk rakaman CCTV dan analisis forensik.

“Kami minta tarikh satu bulan bagi membolehkan pihak kami serahkan dokumen CCTV tersebut dan persediaan (pihak) pembelaan,”jelas Mohamad Mustaffa.

Pihak pembelaan yang diketuai Datuk Naran Singh bagaimanapun tidak membantah tempoh permohonan itu dan memohon tarikh itu dikekalkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Julai depan bagi serahan semua dokumen daripada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula September depan.

Terdahulu, tertuduh Avitan yang memakai kemeja-t berwarna putih dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat pihak polis kira-kira 9.27 pagi sebelum dibawa keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Sebelum ini mahkamah menetapkan tarikh prosiding terhadap tertuduh berjalan selama 9 hari pada 30 September, 1 hingga 3 dan 7 hingga 11 Oktober depan.

Pihak pendakwaan dijangka akan memanggil seramai 20 orang saksi termasuk pegawai rampasan dan pernyataan saksi sepanjang prosiding itu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, tertuduh didakwa memperdagangkan enam pistol jenis Glock 19 USA 9 x 19, Sig Sauer P320SP, Cougar 8000 FT, Glock 17 Gen4 Austria, M&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang, 28 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm (8 peluru), dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berasingan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid dan pembelaan turut dihadiri peguam Navinjit Singh dan Jeffrey Ooi.

Loading...
Terkini