comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 3 lelaki asing yang ditahan berkaitan suspek Israel miliki 6 pistol dihantar pulang ke negara asal

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga asing yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki warga Israel yang ditahan kerana memiliki enam pucuk pistol telah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Ketiga-tiga mereka yang dikaitkan selepas penahanan lelaki warga Israel yang turut memiliki kewarganegaraan Perancis, Shalom Avitan dihantar pulang selepas siasatan terhadap mereka selesai dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis pada Perhimpunan Bulanan IPK PDRM Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: NSTP

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata tindakan penghantaran pulang dilakukan selepas mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi proses pemindahan imigran-imigran larangan dari Malaysia.

“Ketiga-tiga lelaki dipindah keluar dari negara ini untuk ke negara asal mereka Amerika Syarikat, Turkiye dan Georgia bermula kelmarin dan semalam.”

“Ketiga-tiga suspek termasuk tujuh warga tempatan dibebaskan 10 Mei lalu di bawah jaminan polis,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pagi tadi.

Rusdi turut mengulas mengenai tindakan polis membebaskan dan memberi jaminan terhadap tujuh lelaki lelaki tempatan yang ditahan dalam siasatan kes sama.

“Kesemua mereka boleh ditahan semula sekiranya ada bukti baharu. Kena faham bebas dengan jaminan, kalau ada perkembangan, saksi, keterangan baharu, kertas siasatan boleh dibuka bila-bila masa. Jangan ingat kalau dibebaskan dia lepas begitu sahaja,” katanya.

19 April lalu, Rusdi mengesahkan 10 individu masih lagi ditahan susulan penahanan 18 individu bagi siasatan kes berkaitan lelaki Israel, Avitan Shalom.

Daripada jumlah itu, tiga termasuk suspek utama iaitu Shalom dan pasangan suami isteri warga tempatan telah pun dituduh di mahkamah manakala lima lagi dibebaskan.

10 lagi individu yang sebelum ini direman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini