comscore
Tumpuan :
Jenayah

Daun ketum, minuman keras lebih RM77,000 dirampas 

Ismail (tengah) bersama anggota dan penguat kuasa JKDM Perlis menunjukkan gambar daun ketum yang kembali cuba diseludup ke negara Thailand di Padang Besar.

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas daun ketum dan minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai bernilai RM77,920 dalam serbuan berasingan pada 3 hingga 5 Jan lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata dalam serbuan pada 3 dan 4 Jan, pihaknya merampas 676 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM6,760 di Kampung Batu 15 dan Jalan Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit dekat sini.

“Pada 3 Jan, sepasukan anggota Kastam daripada Unit Narkotik Padang Besar memeriksa kawasan parkir sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu 15 dan menemukan 23 guni mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 476kg bernilai RM4,760.

“Pada esoknya pula, sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar memeriksa pondok kosong di Jalan Kampung Wang Kelian dan menemukan 10 plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 200kg bernilai RM2,000,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Padang Besar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya kemudian merampas 593 kotak atau 7,116 liter bir pelbagai jenama bernilai RM71,160 dan cukai RM251,565.09 dalam serbuan di sebuah gudang terbiar di kawasan Perindustrian Bukit Angkat, Kajang, Selangor pada 5 Jan lepas.

Menurut Ismail meskipun lokasi serbuan itu di Selangor, perkara itu tidak mengehadkan penugasan penguatkuasaan Kastam Perlis untuk bertindak atas maklumat diterima berkaitan minuman keras itu.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat banyak jeti persendirian tidak berdaftar dengan Kastam didapati disyaki beroperasi di Perlis yang dipercayai boleh menyumbang berlakunya aktiviti penyeludupan sekali gus memerlukan penguatkuasaan dipertingkat
di kawasan itu.

Pihak Kastam Perlis, katanya akan membuat rondaan dan pemeriksaan berkala di situ sebagai usaha mengekang kegiatan penyeludupan.– BERNAMA

Loading...
Terkini