comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kerana untung besar, sindiket rela ‘melabur’ sewa stor untuk seleweng diesel subsidi

Muhammad Zahir (kanan) menunjukkan peralatan yang dirampas yang disyaki digunakan bagi tujuan penyelewengan diesel subsidi. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Untung berlipat ganda hasil penyelewengan diesel subsidi menyebabkan sindiket sanggup berbelanja besar bagi memastikan kegiatan haram mereka dapat diteruskan.

Ini termasuklah mengeluarkan belanja sehingga ribuan ringgit untuk menyewa stor haram, selain mengubahsuai tangki minyak pada lori bagi memudahkan penyimpanan dan pengangkutan bahan api yang diseleweng itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Muhammad Zahir Mazlan berkata, perkara itu dikesan susulan Ops Tiris yang dijalankan, dengan terkini membabitkan serbuan di Kawasan Perindustrian Gala, di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, sejumlah 6,600 liter diesel dianggar bernilai RM14,190 dirampas, selain tiga lori, 10 tangki IBC dan peralatan lain yang digunakan bagi tujuan penyelewengan diesel.

Turut dirampas wang tunai RM88,000 yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM161,090.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahir berkata, premis diserbu itu dipercayai disewa dan sudah beroperasi selama sebulan sebagai stor haram untuk pengumpulan dan penyimpanan sementara diesel bagi tujuan diseleweng.

Tambahnya, lima lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. 4.

Jelasnya lagi, sindiket akan membeli diesel bersubsidi di stesen minyak dalam jumlah besar pada harga RM2.15 seliter dan menjual balik kepada perusahaan perindustrian pada harga antara RM3.90 hingga RM4.30 seliter.

“Untung berlipat ganda menyebabkan mereka berani menjalankan kegiatan ini, malah sanggup ubah suai lori dan sewa tapak di kawasan perindustrian yang tersorok.

“Kami juga percaya permintaan industri menyebabkan sindiket ini berani kerana mereka membeli diesel pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu RM4.50,” katanya.

Dalam satu lagi serbuan di Port Dickson, katanya, pemeriksaan ke atas sebuah lori di sebuah stesen minyak menemukan 6,000 liter cecair disyaki diesel disimpan di dalam lapan tangki IBC lori terbabit.

“Turut ditemui dua unit pam penyedut yang dipasang secara ubah suai pada lori. Keseluruhan nilai rampasan dianggar bernilai RM42,900.00. Seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pemandu lori terbabit ditahan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini