comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seleweng diesel di stesen minyak, pemandu lori ditahan

Seorang pemandu lori ditahan kerana disyaki menyeleweng diesel di sebuah stesen minyak di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. – FOTO: Ihsan KPDN

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor selepas disyaki menyeleweng diesel di sebuah stesen minyak di Bandar Puncak Alam, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia lewat 30-an itu yang juga pemandu lori ditahan hasil rondaan dan pemantauan Ops Tiris yang dilakukan jam 1.40 pagi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, pihaknya mengesan kenderaan itu yang sedang mengisi minyak sebelum pemeriksaan fizikal dijalankan.

“Anggota bertugas mendapati pemandu menggunakan dua nozel yang diisi serentak ke dalam tangki minyak kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut menemui enam tong plastik berkapasiti 1,000 liter dalam ruang kargo dan minyak yang diisi melalui tangki asal dipam masuk ke dalam empat unit tangki plastik yang telah diubahsuai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pemandu juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada KPDN berkaitan urus niaga dan pemilikan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.

Pada masa sama katanya, pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas premis terbabit dan akuan pemeriksaan dikeluarkan kepada juruwang.

“Anggota turut merampas beberapa barang dan dokumen antaranya lori, enam tangki IBC, pam bermotor, hos penyambung dan minyak diesel sebanyak 2,000 liter.

“Nilai sitaan membabitkan diesel dianggarkan RM4,300. Anggaran nilai sitaan keseluruhan dalam tindakan kes ini adalah RM51,150,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) PPKB 1974, Peraturan 9(2) PPKB 1974 dan Peraturan 12A PPKB 1974.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini