comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ditawar satu tugasan komisen RM5 sebaliknya rugi hampir RM400,000 – Polis

Foto hiasan

KUANTAN: Terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan bayaran lumayan secara dalam talian, seorang penyelia jururawat kerugian RM387,035.

Wanita berusia 46 tahun yang bekerja di luar negara itu menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp menawarkan kerja sambilan terbabit pada 11 September lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata dengan hanya menekan butang ‘like’ di aplikasi Instagram yang diberikan, mangsa ditawarkan komisen sebanyak RM5 bagi setiap tugasan.

“Selepas berjaya menyelesaikan lima tugasan, mangsa menerima wang komisen berjumlah RM25.

“Mangsa kemudian ditawarkan satu tugasan prabayar dengan membuat pembayaran dan menerima keuntungan lebih tinggi.

“Mangsa hanya tersedar selepas membuat 36 transaksi berjumlah RM387,035 kepada 21 akaun dalam tempoh 13 hari mulai 11 September lalu.

“Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan sendiri, pinjaman rakan dan ahli keluarga untuk semua transaksi yang dibuat. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Yahaya menasihati orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

Beliau berkata, orang ramai perlu membuat semakan nombor akaun yang diterima bagi pada pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu.

Loading...
Terkini