comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua beradik ditahan, curi lambang kereta hakim untuk hadiah kepada abang

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Tindakan dua remaja lelaki yang merosakkan lambang “hakim” pada kenderaan rasmi milik seorang Hakim Mahkamah Persekutuan untuk dihadiahkan kepada abang mereka, membawa padah selepas ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pemandu hakim terbabit berusia 30 tahun yang menyedari kenderaan tersebut digores dengan benda tajam dan nombor pendaftaran serta lambang ‘hakim’ dicabut kira-kira 8.30 malam pada Ahad lepas, semasa kereta tersebut diparkir di tepi jalan di Taman Koperasi Polis Fasa Dua di sini.

Menurutnya semakan rakaman kamera litar tertutup di sekitar lokasi kejadian mendapati dua beradik berusia 15 tahun itu menconteng permukaan kereta tersebut menggunakan batu dan mengaku dengan sengaja mematahkan lambang hakim di kereta terbabit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai bermain bola di padang berhampiran.

“Siasatan mendapati remaja itu bertindak mencabut lambang ‘hakim’ untuk dihadiahkan kepada abang mereka yang akan menyambut hari kelahiran pada Mac ini.

“Dua remaja terbabit ditahan di rumah mereka di Batu Caves, Selangor Isnin lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun keseksaan.– BERNAMA

Loading...
Terkini