comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua beradik ditahan disyaki bunuh saudara kandung

Rumah di Taman Mahkota yang dipercayai menjadi tempat pergaduhan dua beradik sebelum seorang daripadanya meninggal dunia. – Foto: NSTP/Ihsan PDRM Kulim.

KULIM: Seorang lelaki maut dipercayai dibunuh adik bongsunya sewaktu berlaku pertengkaran dan pergelutan di rumah mereka di Taman Mahkota, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata pada mulanya abang sulung mereka berusia 26 tahun membuat laporan polis kononnya adiknya mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika bekerja di kandang kambing.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada lelaki itu pada jam 12.30 tengah hari semalam.

“Dalam laporan itu, lelaki itu memaklumkan adik keduanya dipercayai terjatuh pada jam 10.10 pagi hari yang sama.

Pengadu kemudian membawa adik keduanya ke Hospital Kulim sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Mohd Redzuan berkata, hasil siasatan mendapati abang sulung mangsa telah membuat laporan palsu untuk menyembunyikan kejadian sebenar.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku sewaktu pertengkaran dan pergelutan antara si mati dengan adik bongsunya yang berusia 18 tahun.

Berikutan itu, polis menahan abang sulung dan adik bongsu mangsa untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati abang mangsa mempunyai satu rekod jenayah dan dadah manakala adik bongsu mangsa pula mempunyai dua rekod jenayah.

Mohd Redzuan berkata, setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian masih si mati adalah akibat tikaman di jantung,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Loading...
Terkini