comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua remaja ‘kantoi’, kes pecah rumah

Caption: Keadaan sebuah rumah di Taman Semarak, di sini, yang dipercayai dipecah masuk dua remaja, malam tadi. – Foto: NSTP

NILAI : Dua remaja berusia 14 tahun ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah rumah di pangsapuri dekat Taman Semarak, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kedua-dua remaja terbabit dikatakan tidak sempat melarikan barang di dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kaunter aduan Balai Polis Nilai menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 27 tahun menyatakan dia menerima pesanan Whatsapp memaklumkan rumah jirannya dipecah masuk.

“Maklumat dalam aplikasi Whatsapp dari rakan memberitahu terdapat individu yang pecah masuk rumah jiran pengadu yang tinggal di tingkat atas.

“Pada jam 8.30 malam, pengadu dikatakan menghala ke rumah jiran itu untuk melihat keadaan dan setibanya di sana pengadu membuat pemeriksaan dalam dan luar rumah sebelum mendapati wayar kabel rumah dicabut dari siling,” katanya, hari ini.

Abdul Malik berkata, pengadu turut membuat pemeriksaan di lokasi sebelum menemui dua remaja lelaki berkenaan.

“Difahamkan, kedua-dua suspek mengaku melakukan perbuatan itu sebelum pengadu memaklumkan kepada pihak polis. Pihak polis tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9 malam lalu kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jelas beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan akhir tahun,” katanya.

Loading...
Terkini