comscore
Tumpuan :
Jenayah

Stor IPD Sepang kena pecah, barang kes dadah hilang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Stor barang kes (eksibit) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dekat sini, dipecah masuk kelmarin dan sejumlah barang kes berkaitan kes narkotik dilaporkan hilang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi media mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pelakunya.

“Kejadian ini masih dalam siasatan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, maklumat laporan polis berkaitan kejadian itu tular di media sosial hari ini.

Menerusi maklumat yang tular itu, kejadian disedari pegawai dan anggota bertugas pada jam 8.15 pagi kelmarin ketika mereka mahu memulakan tugas.

Mereka mendapati pintu pagar besi hadapan dalam keadaan berkunci namun pintu kayu di bahagian dalam tidak berkunci.

Bila pintu dibuka, mereka mendapati keadaan pejabat berselerak dan tingkap gelongsor di kaunter terbuka.

Pemeriksaan mendapati lebih 500 sampul bersaiz 6×12 inci mengandungi barang kes berkait kes narkotik yang disimpan dalam peti khas dalam ruang pejabat stor itu didapati hilang.

Suspek dipercayai memotong dawai atas pagar di belakang stor untuk masuk ke kawasan stor.

Suspek kemudian dipercayai masuk ke bahagian pejabat stor eksibit melalui lubang kaunter tingkap stor.

Kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi turut dirosakkan.

Difahamkan, semua sampul itu berisi dadah bagi kes yang disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan kes yang selesai bagi tahun 2014-2022.

Semua barang kes itu juga dikatakan dalam tindakan pelupusan dan data sedang dikemas kini dalam komputer riba, namun komputer riba itu juga didapati hilang.

Maklumat mengenai jumlah dan nilai barang kes yang dilaporkan hilang itu tidak didedahkan.

Loading...
Terkini