comscore
Tumpuan :
Jenayah

Empat suspek kes samun ditangkap, pelbagai senjata ditemukan dalam MPV

ANTARA barangan yang dirampas susulan penahanan ahli kumpulan samun kedai serbaneka di Kuching. Foto: Ihsan IPD Kuching

KUCHING : Polis berjaya menyelesaikan tiga kes rompakan bersenjata kedai serbaneka 24 jam dan kedai runcit sekitar bandar raya ini sejak Oktober lalu hingga awal bulan ini susulan penahanan empat suspek, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, semua suspek adalah lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 23 hingga 49 tahun itu dicekup oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di kawasan letak kereta di Jalan Tun Jugah, di sini kira-kira jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, hasil soal siasat kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes samun kedai 24 jam di Jalan Chan Bee Kiew pada jam 6.30 pagi, 3 Disember lalu.

“Suspek turut mengaku melakukan dua lagi kes samun kedai runcit di kawasan Padungan pada 23 Oktober dan 8 November lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang digunakan suspek turut menemui pelbagai barang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah, termasuk pedang samurai, parang, kayu hoki, kuku kambing, topeng muka, topi dan sarung tangan.

“Nombor pendaftaran kereta yang digunakan juga didapati palsu,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan dan penyalahgunaan dadah turut didapati positif amphetamine.

“Kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 15 hingga 22 Disember ini.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Loading...
Terkini