comscore
Tumpuan :
Nasional

Langgar maut pelajar: Keluarga lantik peguam

IPOH: Keluarga pelajar yang maut didakwa akibat dilanggar pegawai kanan polis berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, Jumaat lalu, melantik peguam bagi menuntut pembelaan atas kematian mangsa.

Bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, berkata, ahli keluarga bersetuju melantik peguam dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) bagi memastikan kematian anaknya, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, mendapat pembelaan selayaknya yang disifatkan mereka sebagai mati dibunuh.

Muhd Zamrie menegaskan dia mewakili keluarga mahu kematian anak bongsu daripada empat beradik itu disiasat dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh berbanding mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ya. Saya memang minta dan hendak Seksyen 302. Kalau orang itu sengaja melanggar (dan mati) bermakna dia memang (berniat) membunuh.

“Tujuan saya melantik peguam adalah inginkan keadilan dan ketelusan, sebab saya tahu kami sekarang berurusan dengan pihak polis. Jadi saya hendakkan keadilan supaya nasib anak saya terbela, telus, dan tiada selindung-selindung, itu saja,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Taman Chepor Sentosa.

Ibu Zaharif, Mimi Julia Ismail, 51, berkata, lantikan peguam adalah atas dasar gesaan serta nasihat ramai pihak termasuk kenalannya.

“Kami pun tidak berapa tahu hal-hal berkaitan guaman dan perundangan jadi lantikan peguam ini dibuat atas dasar siapa yang paling mula menawarkan diri hingga sanggup berkunjung ke rumah kami ini, maka itulah yang kami pilih.

“Moga yang kami pilih ini yang terbaik untuk bantu kami (kerana) saya memang tak boleh terima anak saya mati kerana dibunuh. Kalau mati kerana merempit pun saya tak kisah namun bukan mati dibunuh dengan dilanggar sampai sebegitu, sudahlah pelakunya adalah polis yang patut tahu undang-undang,” katanya.

Sementara itu, peguam HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya akan mewakili keluarga Allahyarham Zaharif untuk melihat dua perkara utama iaitu ketelusan proses siasatan polis di pihak keluarga, serta tindakan perundangan sivil yang boleh dikenakan terhadap pelaku kes itu bahkan terhadap kerajaan Malaysia.

“Serta apa yang diminta oleh pihak kami ialah pampasan yang berkait dengan tindakan sivil susulan kematian arwah, supaya kami dapat memastikan pampasan sewajarnya diberikan kepada keluarga arwah,” ​​​​​​​katanya yang turut bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kes kematian pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain sudut lain termasuk jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini