comscore
Tumpuan :
Jenayah

Enam Remaja Bawah Umur Ditahan Dalam Pesta Liar

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

GEORGE TOWN: Enam remaja bawah umur antara 22 individu yang ditahan dalam pesta liar dianjurkan di sebuah banglo tiga tingkat di Batu Feringghi, di sini, Khamis lalu.

Mereka ditahan dalam serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 1.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka berusia antara 16 hingga 21 tahun membabitkan seramai 14 lelaki dan lapan wanita.

Katanya, pemeriksaan menemukan sebanyak dua peket dadah jenis ketamin seberat 0.9 gram dan tiga pil ekstasi (1.6g).

“Daripada 22 individu yang ditahan, enam daripadanya adalah remaja bawah umur dan seorang masih bersekolah.

“Siasatan awal mendapati parti liar itu dianjurkan lelaki tempatan berusia 19 tahun yang menyewa banglo berkenaan pada harga RM1,000 sehari.

“Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan setakat ini mereka mengakui ia kali pertama parti itu dianjurkan namun kita percaya sudah ada sebelum ini,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini, hari ini.

Soffian berkata, semua pengunjung menerima jemputan menerusi kumpulan WhatsApp dengan kadar bayaran yang dikenakan antara RM80 hingga RM100 manakala pengunjung wanita tidak dikenakan bayaran.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati seramai enam individu positif dadah.

“Enam individu ini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari sehingga 18 Oktober bagi siasatan lanjut.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) akta yang sama,” katanya lagi.

Menurutnya, pada jam 2.30 petang hari sama, kesemua mereka diserah kepada Unit Agama dan Kaunseling Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Timur Laut bagi sesi kaunseling dan ceramah.

“Hadir sama ialah penjaga dan waris terdekat kesemua tangkapan.

“Polis memandang serius terhadap aktiviti parti liar yang turut membabitkan penyalahgunaan dadah dan seterusnya mendorong kepada aktiviti tidak bermoral,” katanya. – HARIANMETRO

Loading...
Terkini