comscore
Tumpuan :
Jenayah

Gara-gara hutang, wanita dibelasah teman lelaki 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kurier ditahan kerana disyaki memukul teman wanitanya menggunakan kayu penggiling adunan tepung sehingga cedera dalam kejadian di sebuah pangsapuri dekat Ampang Jaya, semalam.

Kejadian dilaporkan kepada pihak polis oleh seorang pegawai perubatan Hospital Selayang selepas menerima seorang pesakit wanita yang mengalami kecederaan akibat dipukul pada jam 8 pagi, 30 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata mangsa berusia 29 tahun cedera di kepala dan kedua-dua tangan dalam kejadian itu.

Katanya, hasil siasatan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai penghantar kurier di Kampung Baru, Ampang kira-kira jam 5 petang, semalam.

“Menerusi tangkapan itu, kita turut merampas satu kayu penggiling adunan tepung yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau atas kesalahan dadah, dan keputusan ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata siasatan mendapati motif kejadian adalah disebabkan perselisihan berkait isu hutang antara mangsa dan suspek.

“Suspek kini direman empat hari hingga 9 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini